Skip to main content
Berita

Mesyuarat Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA)

14 Ogos 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) Bil 1/2025 bertempat di Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kuala Lumpur.

Objektif utama mesyuarat JANGKA adalah bagi memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan dengan terancang dan lebih berkesan dalam aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, ekonomi, penjanaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat, dan keselamatan serta kedaulatan negara.
Mesyuarat hari ini memfokuskan keperluan Malaysia memperkukuh kedudukan dalam industri angkasa berteknologi tinggi melalui penekanan terhadap pembangunan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan modal insan dan kesedaran awam dalam bidang angkasa.
Usaha bersepadu dan strategik dalam bidang ini adalah elemen utama bagi memastikan negara dapat memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan pesat ekonomi angkasa global ini. Malaysia juga perlu mengambil sikap proaktif dengan memposisikan diri bukan sekadar sebagai pengguna, tetapi sebagai penyumbang aktif dan peneraju dalam inovasi teknologi angkasa.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI dan YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Skip to content