Skip to main content
Berita

Sabah jadi Tumpuan Inovasi Belia di Malaysia Techlympics 2025

21 Ogos 2025, Sabah – Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Sabah melabuhkan tirainya dengan kejayaan cemerlang apabila berjaya menarik penyertaan lebih 1,500 peserta dari 75 buah sekolah dan institusi pengajian tinggi merangkumi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Program selama dua (2) hari yang penuh dengan aktiviti berteraskan inovasi tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Malaysia Techlympics merupakan program perdana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar dan belia melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pertandingan.
Hadir sama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YB Haji Azhar Matussin, ADUN Darau; YBhg. Professor Datuk Dr Kasim Haji Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah; YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan YBrs. Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation.
Penganjuran edisi 2025 terus mengekalkan konsep hibrid – gabungan pertandingan secara fizikal dan dalam talian – bagi memperluas akses penyertaan termasuk ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini sejajar dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 untuk membina ekosistem STI yang inklusif, progresif dan berpaksikan inovasi tempatan.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menekankan bahawa Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform yang membina kemahiran masa depan generasi muda. Peserta berpeluang mengasah kemahiran kritikal seperti penyelesaian masalah, kerja berpasukan, serta pemikiran kreatif melalui pengalaman langsung membina prototaip, pengaturcaraan, dan pembentangan inovasi.
MOSTI turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan semua agensi pelaksana serta rakan industri atas komitmen padu dalam menjayakan penganjuran peringkat zon ini.
Malaysia Techlympics terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan bakat teknologi negara dan pemacu kepada kelestarian inovasi akar umbi dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi berasaskan STI tempatan.Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.techlympics.my
Skip to content