Skip to main content
Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2025

31 Ogos 2025, Putrajaya – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Putrajaya seawal jam 7.00 pagi tadi. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan acara bersejarah ini yang turut disertai ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir memeriahkan sambutan adalah YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan pengurusan tertinggi MOSTI.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan tahun ini menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama, selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai perpaduan, kesejahteraan dan kemanusiaan.
MOSTI juga turut berbangga dapat menyertai Kontinjen Perkhidmatan Awam dalam perbarisan dan perarakan sempena sambutan tahun ini. Seramai lapan orang telah mewakili warga MOSTI melangkah dengan penuh semangat bersama 220 peserta daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan mengikut bidang tugas masing-masing ke arah mendukung agenda reformasi Perkhidmatan Awam.
Kehadiran dan semangat para peserta termasuk seluruh rakyat Malaysia menjadikan sambutan ini sebagai simbol perpaduan, patriotisme, serta aspirasi Malaysia menuju sebuah negara yang harmoni dan bersatu.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bukan sahaja menjadi medan untuk memperingati perjuangan dan pengorbanan pejuang tanah air, tetapi juga sebagai wadah memperkukuh semangat kebersamaan demi kemakmuran Malaysia yang berterusan.

Skip to content