Skip to main content
Berita

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Galak Kerjasama Strategik Memanfaatkan Biodiversiti bagi Penuaan Sihat

25 September 2025, Kuala Lumpur – Sempena Forum Memorial Tahunan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) & Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS 2025, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI yang mewakili Timbalan Menteri MOSTI, YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, telah menyampaikan Geran Penyelidikan Perubatan RBS 2025 bernilai RM50,000 kepada Dr. Chong Lor Huai dari Monash University Malaysia bagi projek penyelidikan inovatif dalam bidang imunoterapi kanser.

Kepelbagaian biodiversiti Malaysia menyimpan potensi besar dalam menghasilkan rawatan baharu, menyokong penuaan sihat dan memperkukuh kaedah perubatan melalui pencegahan. Di bawah agenda Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar dalam RMK-13, Malaysia akan mengutamakan pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif dan mampan berpandukan kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam ucapan, YBrs. Puan Ruziah Shafei menegaskan bahawa bahawa, “Kerjasama dengan negeri atau pusat biodiversiti serantau seperti Pusat Biodiversiti Sabah, Pusat Biodiversiti Sarawak atau Pusat Biodiversiti Pahang adalah kunci untuk memaksimumkan nilai sumber asli negara kita serta melindungi pemilikan dan pengurusan mampan Malaysia terhadapnya”. Kolaborasi rentas disiplin ini penting untuk membina sistem kesihatan yang tangkas, inovatif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Dana Amanah Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh merupakan inisiatif oleh mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, seorang tokoh berwawasan dan dermawan dalam bidang sains perubatan dan kesihatan. Sehingga kini, Dana Amanah Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh telah menyokong 28 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal sejak penubuhannya pada tahun 1997.
Turut hadir, Ahli Akademik Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif ASM, serta para jemputan lain.
Skip to content