27 September 2025, Johor – Kompleks Sukan Pagoh, Johor menjadi tumpuan apabila ribuan pengunjung hadir bagi merasai pengalaman meneroka ilmu pengetahuan dan aplikasi sains melalui Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Selatan yang dirasmikan oleh YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan memberi tumpuan mendekati murid sekolah, mahasiswa, komuniti setempat, ibu bapa serta seluruh lapisan masyarakat.
Memasuki tahun ke-8 penganjurannya sejak 2018, MSN terus membuktikan komitmen berterusan MOSTI untuk menjadikan STI sebagai budaya hidup rakyat Malaysia. Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang menekankan peningkatan kesedaran serta penglibatan masyarakat dalam STI sebagai pemacu kemajuan negara.
Dalam ucapannya, YB Tuan Aznan menekankan bahawa sains adalah ilmu yang perlu diaplikasikan bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, malah mampu menjana pendapatan. Beliau turut memberi contoh projek Living Lab Muar yang menggabungkan kerjasama kerajaan negeri Johor, MOSTI, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), agensi berkaitan, syarikat serta komuniti setempat.
Melalui platform tersebut, anak muda, pelajar dan usahawan berpeluang menguji idea inovatif mereka termasuk aplikasi pertanian pintar, teknologi kitar semula sisa pertanian serta produk berasaskan bioteknologi. Usaha ini membuktikan bahawa inovasi yang bermula dari kampung atau pekan kecil mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir ke majlis ini adalah YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, YBrs. En. Shahrizal Bin Shahrudin, Pengarah Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), MOSTI, YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara, pelajar dan guru sekolah, ibubapa serta para jemputan lain.