29 September 2025, Putrajaya – Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovati (MOSTI) September 2025 telah berlangsung meriah di Lobi Kompleks C Putrajaya dengan tema Hari Malaysia dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS), bersama YBrs. Puan Norsham Abdul Latip, TKSU (Pembangunan Teknologi) MOSTI dan turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha MOSTI.
Dalam ucapan, YBrs. Puan Norsham menegaskan kekuatan negara terletak pada rakyat yang sihat, berdaya tahan dan berdaya cipta, dan apabila warga MOSTI sejahtera, maka inovasi dapat dipacu dengan lebih mantap.
Sepanjang September, pelbagai aktiviti BMSS telah dianjurkan oleh MOSTI termasuk ceramah pergigian, saringan kesihatan, senamrobik, derma darah, serta Program Sihat Kewangan & Minda Sejahtera, dengan kesinambungan melalui Program Relax & Refresh pada 8 Oktober ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan MOSTI 2025 yang telah berlangsung dari 29 Ogos hingga 16 September. Tahniah kepada Bahagian Dana selaku Johan, Bahagian PSTI di tempat kedua dan Bahagian Kewangan di tempat ketiga, dengan penyertaan 12 bahagian dan unit yang sama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan serta memupuk kreativiti warga kementerian.
Turut diumumkan kejayaan MOSTI meraih Pingat Emas Kategori S dan Anugerah Ikon Pembudayaan Hidup Sihat di Langkah Sihat Putrajaya 2025. Pengiktirafan tersebut telah diterima oleh YBrs. Tuan Ooli Gunalan, SUB (Pengurusan) MOSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada Majlis BMSS Peringkat Kebangsaan pada 20 September lalu, sebelum diserahkan secara rasmi kepada YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam, KSU MOSTI pada perhimpunan hari ini.
Pada perhimpunan ini juga, telah disampaikan hadiah kejayaan MOSTI meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Futsal Piala STI 2025 bagi kategori wanita yang telah berlangsung pada 20 September lalu.
Tahniah kepada semua warga MOSTI atas pencapaian ini!