Skip to main content
Berita

Ucaptama KSU MOSTI di I-Nation Global Summit 2025: Beyond Borders-Malaysia’s Blueprint for Global Innovation Leadership

08 Oktober 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyampaikan amanat bertajuk “Beyond Borders – Malaysia’s Blueprint for Global Innovation Leadership” di I-Nation Global Summit 2025.

Dalam amanatnya, YBhg. Datuk Seri menegaskan keperluan Malaysia melangkah daripada sekadar pengguna kepada pencipta dan peneraju teknologi global. Aspirasi ini dipacu melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030, berasaskan bakat tempatan, R&D berimpak tinggi serta kolaborasi bersama industri.
Beliau turut menekankan kepentingan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan, memperkukuh ekosistem R&D&C&I dan membina ekonomi inovatif yang dipacu sektor swasta. Antara langkah ke hadapan termasuk penubuhan Malaysia Science Endowment (MSE) dan pelaksanaan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan.
Menurutnya lagi, pengantarabangsaan STI akan menjadi pemacu utama daya saing masa hadapan dengan tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti angkasa, bioteknologi, bahan termaju, hidrogen dan tenaga nuklear.
Beliau menyeru semua pihak termasuk industri, akademia dan masyarakat agar terus berganding bahu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dan berdaya saing global.
Turut hadir memeriahkan sesi tersebut adalah YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Boniface anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D MOSTI serta tetamu jemputan.
Skip to content