10 Oktober 2025, Putrajaya – Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama YB Menteri sempena Hari Sukan Negara 2025 telah berlangsung dengan meriah di Ibu Pejabat MOSTI pada pagi ini. Program dimulakan dengan pelancaran rasmi oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, diikuti sesi regangan badan serta aktiviti Fun Walk yang disertai oleh warga MOSTI.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa penganjuran majlis ini bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober di seluruh negara, melibatkan pelbagai aktiviti sukan di peringkat daerah hingga kebangsaan dengan penyertaan masyarakat secara menyeluruh. Menurut beliau, penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dan interaksi antara warga kementerian, malah menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah bersama.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk Futsal Piala STI, Sepak Penalti, Fun Walk serta sukan indoor seperti congkak, karom dan explorace. Selesai aktiviti Fun Walk dan zumba, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang setiap kategori serta cabutan bertuah. Sekalung penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada YB Menteri MOSTI atas sumbangan hadiah kepada semua pemenang.
Turut memeriahkan program pagi ini ialah YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi); serta YBrs. Encik Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), bersama warga kementerian.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta atas semangat kesukanan yang ditunjukkan. Teruskan bersukan demi kesihatan diri, kesejahteraan komuniti dan kemajuan negara. Program ini jelas mencerminkan semangat kesukanan, perpaduan dan kebersamaan warga MOSTI dalam mengamalkan gaya hidup sihat.