28 Oktober 2025, Kuala Lumpur – Tuan Yang Terutama Matamela Cyril Ramaphosa, Presiden Afrika Selatan, berlepas pulang dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.30 malam ini selepas mengakhiri lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia.
Upacara pelepasan rasmi TYT Presiden disempurnakan dengan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Kepulangan TYT Presiden diiringi oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan.
TYT Presiden berada di Malaysia sejak Sabtu lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Semoga hubungan dua hala Malaysia–Afrika Selatan terus diperkukuh demi kemakmuran bersama.



