29 Oktober 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyempurnakan Majlis Penutup Program Pementoran Dalam Perkhidmatan Awam Peringkat MOSTI 2025 yang berlangsung di Dorsett Putrajaya.
Program ini melibatkan penyertaan warga MOSTI dan agensi di bawahnya termasuk Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, Agensi Angkasa Malaysia, dan Agensi Nuklear Malaysia. Seramai 32 pasangan mentor dan menti (melibatkan 64 pegawai) telah menyertai program yang bermula pada 20 Februari 2025.
Sepanjang enam bulan pelaksanaannya, para peserta telah menjalani 12 sesi pertemuan rasmi yang menumpukan kepada perkongsian ilmu, pengalaman, serta bimbingan dalam empat aspek utama: kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam menyeru semua peserta agar memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang diperoleh untuk memperkukuh kualiti perkhidmatan awam di MOSTI dan agensi di bawahnya, selaras dengan tema MOSTI —“Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi.”
Turut hadir, YBrs. Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, YBrs. Tuan Haji Muhammad Yazid bin Ibrahim Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KIMIA Malaysia, En. Mohd Safrie bin Zakaria, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Setiausaha-setiausaha Bahagian serta peserta mentor dan menti MOSTI.




