Skip to main content
Berita

MOSTI ke Arah Tadbir Urus dan Integriti Cemerlang Melalui Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah

31 Oktober 2025, Putrajaya – Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Taklimat Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) sebagai langkah persediaan MOSTI ke arah memperkukuh budaya integriti, tadbir urus baik dan kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan awam.

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Encik Ooli Gunalan A/L Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), yang menyeru seluruh warga MOSTI untuk terus memperkukuh nilai integriti, meningkatkan akauntabiliti dan menjadikan integriti sebagai budaya kerja harian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Sesi taklimat diteruskan oleh YBhg. Datuk Ts. Ahmad Ramdzan bin Daud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), yang berkongsi mengenai objektif, kriteria penilaian serta cabaran dalam pelaksanaan AIGA sebagai pengiktirafan kepada agensi yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap integriti dan tadbir urus.
Turut berkongsi pengalaman, YBrs. Encik Mohamad Hafiz bin Zolkipli, Ketua Pegawai Operasi NanoMalaysia Berhad, yang menceritakan perjalanan dan kejayaan agensi tersebut memperoleh Anugerah Perak AIGA 2023, sebagai inspirasi kepada warga MOSTI untuk turut cemerlang dalam penyertaan AIGA akan datang.
Penganjuran taklimat ini diharap dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya integriti dan tata kelola cemerlang di MOSTI, seiring aspirasi kementerian untuk mencapai perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan berintegriti tinggi.
Skip to content