03 November 2025, Putrajaya – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah merasmikan Seminar Exploration, Thorium & Rare-Earth (XThREE) 2025 anjuran Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) dengan kerjasama Thorium Project Management Office (ThX) dan Lynas Sdn. Bhd di Marriott Putrajaya Hotel, Putrajaya.
Bertemakan “Securing the Future: Science, Strategy & Sustainability in REE & Thorium”, seminar ini menjadi platform strategik bagi perkongsian ilmu, penyelidikan dan strategi terkini dalam pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) serta thorium iaitu sumber strategik penting dalam agenda keselamatan tenaga dan teknologi hijau negara.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa Malaysia memiliki sumber REE dan thorium yang signifikan serta keupayaan saintifik dan peraturan bertaraf antarabangsa. Pendekatan whole-of-government yang diterapkan adalah untuk memastikan pembangunan sektor ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan mampan.
Seiring dengan itu, MOSTI melalui NAMTR, SRF, NAMC dan Moonshot REE terus memacu inovasi dalam bidang pengekstrakan hijau (green extraction), kitar semula serta teknologi pemisahan maju. Penggunaan AI, blockchain traceability, dan sistem pemantauan digital turut memperkukuh pematuhan terhadap piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)
Lebih 500 peserta daripada agensi kerajaan, institusi akademik dan industri telah menghadiri seminar ini bagi membincangkan hala tuju, potensi serta cabaran dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan dan pelaburan REE serta thorium ke arah pembangunan mampan dan kedaulatan teknologi negara.
MOSTI komited untuk terus memperkukuh ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) strategik, serta memastikan hasil penyelidikan negara diterjemah kepada nilai ekonomi dan tenaga lestari demi masa depan Malaysia yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Turut hadir ke majlis ini, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin bin Ali, Pelindung (Patron), MARS, YBrs Puan Amanda Lacaze, CEO & Managing Director, Lynas Rare Earths dan YM Raja Dato’ Abdul Aziz Raja Adnan, Pengerusi Lembaga R&D, The ThX Project serta peserta seminar.





