Skip to main content
Berita

Mosti Perkenal Rangka Kerja Ketersediaan Inovasi Perkukuh Ekosistem Sains Negara

13 November 2025 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperkenalkan Innovation Readiness Level (IRL) atau Rangka Kerja Tahap Ketersediaan Inovasi (IRL) bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara serta mempercepatkan penerapan hasil penyelidikan ke pasaran sebenar.

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, IRL yang dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan satu kerangka penilaian berasaskan bukti yang menilai keseluruhan proses inovasi daripada idea hingga memberi impak kepada masyarakat. IRL juga menjadi panduan strategik kepada penyelidik dan inovator untuk menilai tahap ketersediaan mereka serta membawa idea lebih dekat ke pasaran.
YB Menteri juga menyatakan Malaysia Science Endowment (MSE) telah mengguna pakai IRL dalam proses penilaian geran bagi memastikan pelaburan penyelidikan memberi impak nyata kepada masyarakat dan ekonomi serta menyokong matlamat Malaysia untuk berada dalam 20 negara teratas Global Innovation Index.
YB Menteri turut menonjolkan kejayaan Dr. Muhammad Ramlee Kamaruddin, Pensyarah Kanan yang membangunkan Wireless Bridging System bagi memperluas capaian internet di Simbuan Tulid, Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 650 penduduk.
Malaysia kini mencatat 55 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh, meningkat daripada 33 pada tahun 2020, dengan sasaran 130 penyelidik menjelang 2025 di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030. Namun begitu, lebih 80 peratus penyelidik masih berada di institusi awam berbanding 16 peratus dalam industri, yang perlu diseimbangkan agar hasil penyelidikan dapat dikomersialkan secara meluas.
Majlis Top Research Scientists Malaysia (TRSM) tahun ini turut meraikan 32 saintis negara atas sumbangan mereka dalam memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE). Antara tahun 2023 hingga 2025, seramai 62 penerima TRSM telah tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists oleh Universiti Stanford, membuktikan pengiktirafan global terhadap keupayaan saintis Malaysia.
Turut hadir, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Academician Profesor Ulung Datuk Dr. Looi Lai Meng FASc, Naib Presiden ASM, Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif ASM serta tetamu jemputan.
Skip to content