20 November 2025, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini meraikan lima saintis muda negara melalui Majlis Penganugerahan Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2025 sebagai pengiktirafan tertinggi kepada penyelidik bawah 40 tahun dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Anugerah disampaikan kepada penerima dalam lima kategori iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Perubatan. Mereka ialah Profesor Madya Dr. Goh Hoe Han (UKM), Ts. Dr. Puvaneswaran A/L Chelvanathan (UKM), Profesor ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin (USM), Profesor Madya Dr. Chua Jia Xin (UTAR) dan Profesor Dr. Ong Wee Jun (Xiamen University Malaysia).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang menegaskan bahawa saintis muda merupakan aset strategik negara dalam meneroka teknologi kritikal termasuk Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi dan kejuruteraan hijau untuk memperkukuh daya saing Malaysia menjelang 2030.
MOSTI turut menekankan bahawa pembangunan bakat muda adalah tunjang kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, khususnya dalam memastikan Malaysia memiliki tenaga pakar yang mampu memimpin agenda penyelidikan, inovasi dan penerokaan teknologi masa hadapan.
MOSTI yakin pengiktirafan ini akan terus memacu penyelidikan berimpak tinggi dan memperkukuh ekosistem STI negara, seiring aspirasi Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Turut hadir, YBhg Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs Prof. Chm Dr. Noorsaadah binti Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Penilaian dan Penjurian ASMN Tahun 2025, YBrs Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Perancangan dan Perkhidmatan MOSTI, YBrs Puan Hazami binti Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Ketua-ketua agensi serta wakil-wakil universiti.




