Skip to main content
Berita

MOSTI–JPA Perkukuh Penambahbaikan Mekanisme Pengisytiharan Pemilikan dan Pelupusan Harta Intelek (Intellectual Property) Penjawat Awam

12 Disember 2025 – Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan penambahbaikan mekanisme pengisytiharan pemilikan dan pelupusan Harta Intelek ( _Intellectual Property)_ dalam kalangan penjawat awam. Sesi ini turut dihadiri oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia MOSTI.
Unit Integriti MOSTI berpandangan bahawa Harta Intelek merupakan aset bernilai yang semakin penting dalam ekosistem inovasi negara dan perlu direkodkan secara rasmi dalam sistem perkhidmatan awam khususnya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) bagi memastikan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pelaporan harta.
Antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan ialah:
📌 Memperluas tafsiran “Harta” dalam peraturan perkhidmatan awam supaya turut merangkumi Harta Intelek selaras dengan perkembangan teknologi dan ekonomi kreatif negara.
📌 Mewujudkan kolum khusus “Harta Intelek” dalam HRMIS bagi memudahkan proses pengisytiharan, pemantauan dan pelaporan secara berintegriti.
📌 Melengkapkan skop data Harta Intelek termasuk hak cipta, paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hasil kreativiti lain yang mempunyai nilai komersial.
📌 Memperkukuh integriti dan tadbir urus perkhidmatan awam melalui mekanisme pelaporan yang lebih sistematik dan telus.
JPA menyambut baik cadangan yang dibentangkan dan menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan MOSTI dalam usaha memperkukuhkan integriti perkhidmatan awam serta memastikan mekanisme pengisytiharan harta yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Skip to content