Skip to main content
Berita

Program National STEM Expo 2026

11 Februari 2026, Kuala Lumpur – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan National STEM Expo 2026 di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh National STEM Association Malaysia. Penganjuran ekspo ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara.
Sepanjang lawatan ke ruang pameran, jelas terpancar semangat, rasa ingin tahu serta keterujaan generasi muda dalam meneroka peranan STEM dalam membentuk dunia dan masa depan mereka. Perkembangan ini membuktikan bahawa potensi bakat masa hadapan negara mampu terus diperkasa apabila diberikan ruang, pendedahan dan bimbingan yang sewajarnya.
Platform seperti ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk minat dan bakat melalui pengalaman pembelajaran secara langsung, keberanian mencetuskan idea baharu serta pembudayaan pemikiran kritis dan inovatif dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini bukan sekadar mempamerkan teknologi, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pendidikan, inovasi dan aplikasi dunia sebenar. Usaha ini sekali gus menyemai aspirasi generasi muda serta memperkukuh keyakinan bahawa pelaburan dalam STEM merupakan pelaburan strategik demi masa depan negara.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr Noraini Idris, Presiden National STEM Association Malaysia, rakan strategik, pendidik, pemain industri serta para sukarelawan yang telah menjayakan ekspo ini.
Skip to content