25 Februari 2026, Melaka – YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YB Datuk Fairul Nizam Bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi Dan Komunikasi Digital Negeri Melaka.
Sesi kunjungan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha memperkukuh Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat negeri. Lawatan ini juga merupakan susulan kepada Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai STI (MEXCO-STI) yang telah dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 November 2025 lalu.
Dalam sesi tersebut, MOSTI telah membentangkan pencapaian terkini Indeks Inovasi Malaysia (MII) bagi Negeri Melaka termasuk sorotan prestasi utama yang menggambarkan kedudukan serta kekuatan negeri tersebut dalam ekosistem inovasi negara. MOSTI juga turut berkongsi ringkasan Laporan Foresight Future of STEM Talent yang menekankan bidang keutamaan dalam pembangunan bakat STEM bagi menyokong agenda pembangunan negara.
Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik inisiatif dan komitmen MOSTI serta menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian terutamanya dalam program-program pembangunan bakat STEM yang dirancang untuk dilaksanakan di Negeri Melaka.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE@UTEM, delegasi MOSTI daripada Bahagian MASTIC, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, Pusat Sains Negara serta urus setia MEXCO-STI.



