28 April 2026 – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini telah melancarkan Cradle Elevate, program pembiayaan baharu bernilai RM10 juta serta Cradle Startup Accelerator Programme 2026 di bawah agensi Cradle.
Inisiatif ini menyokong usaha nasional dalam memperkukuhkan saluran pembangunan startup, meningkatkan keterhubungan ekosistem serta memperluas akses melalui Tetingkap Tunggal MYStartup, selaras dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 dan Pelan Tindakan KL20.
YB Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem startup yang lebih kukuh, berkualiti dan berdaya skala. Melalui Cradle LIVE! Roadshow, sokongan dibawa lebih dekat kepada para pengasas di seluruh negeri dengan membuka laluan pembiayaan, pembangunan keupayaan serta akses pasaran.
Pelancaran ini diumumkan sempena Cradle LIVE! Roadshow Perak 2026, sebahagian daripada usaha jelajah nasional bagi mendekati ekosistem startup berpotensi tinggi di luar hab utama, dengan menampilkan program terpilih yang menghubungkan pengasas kepada pembiayaan, keupayaan serta peluang pasaran.
Bagi Cradle Elevate, penyataan minat boleh dihantar melalui elevate@cradle.com.my. Untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem startup Malaysia, layari platform Tetingkap Tunggal MYStartup di www.mystartup.gov.my.




