Skip to main content
Arkib

Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Kali Kelapan (MISA8)

By 2019-06-20April 12th, 2021No Comments

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR ANTARABANGSA ANTARTIKA MALAYSIA KALI KELAPAN (MISA8)

Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Kali Kelapan atau Eighth Malaysian International Seminar on Antarctica (MISA8) telah berlangsung pada 18 hingga 20 Jun 2019 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Majlis Perasmian MISA8 telah disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

MISA8 bertemakan ‘Polar Regions in the Global Climate System’ ini dianjurkan oleh MESTECC dengan kerjasama YPASM, Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) dan UPM.

MISA bermula pada tahun 2002 dan dianjurkan dua tahun sekali untuk mewujudkan sesi perkongsian dan pembentangan hasil penyelidikan di Artik, Antartik dan Laut Selatan oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa. Seminar ini juga merupakan platform bagi penyelidik-penyelidik Artik, Antartik dan Laut Selatan untuk menjalinkan serta mengukuhkan lagi kerjasama dalam penyelidikan. Seramai 200 orang penyelidik polar, penggubal polisi dan pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar negara menyertai seminar ini.

Semasa Majlis Perasmian MISA8, KDYMM Sultan Terengganu turut menyampaikan:

Geran Penyelidikan YPASM bernilai RM150,000.00 kepada:

  • Prof. Madya Dr. Siti Aisah binti Hj. Alias (Universiti Malaya);
  • Prof. Madya Dr. Siti Aqlima binti Ahmad (Universiti Putra Malaysia);
  • Dr. Wan Mohd Rauhan bin Wan Hussin (Universiti Malaysia Terengganu); danDr. Nur Athirah binti Yusof (Universiti Malaysia Sabah).

Geran YPASM Berth Support bernilai £27,500.00 kepada:

  • Dr. Mohd Shahrul bin Mohd Nadzir (Universiti Kebangsaan Malaysia); dan
  • Dr. Mai Chun Wan (International Medical University).

Selesai upacara penyampaian geran penyelidikan, YBhg. Prof. Timorty Naish, Pengarah Pusat Penyelidikan Antartik, Victoria University of Wellington, New Zealand telah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘What Does The Paris Climate Agreement Mean for Antarctica and The Southern Ocean’.

Turut hadir semasa Majlis Perasmian MISA8 ialah YAB Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, YB Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Haji Yahaya, Ketua Setiausaha MESTECC, YB Dato’ Haji A. Rahman bin Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBhg. Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini binti Ideris, Naib Canselor, UPM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh bin Mohd Nor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPASM dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Azizan bin Abu Samah, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MISA8.