Skip to main content
Arkib

Pelancaran Kempen #MyButterflyEffect untuk Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai

By 2019-07-09April 12th, 2021No Comments

Pada 5 Julai 2019, YB Puan Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah melancarkan Kempen #MyButterflyEffect untuk Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, sambil disaksikan oleh YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz yang dilantik sebagai Duta #MyButterflyEffect.

Bertemakan Connecting Minds, Creating the Future, Ekspo 2020 Dubai disasarkan untuk membina perkongsian dan menginspirasi idea-idea yang akan mencorakkan dunia masa hadapan dengan penyertaan 192 negara, beratus-ratus pavilion dan 25 juta pelawat. Ekspo 2020 Dubai akan berlangsung dari 20 Oktober 2020 hingga 10 April 2021 di Dubai Exhibition Centre di Emiriah Arab Bersatu.

Semasa pelancaran itu, YB Menteri mengumumkan bahawa Pavilion Malaysia akan memberi tumpuan kepada ‘Meningkatkan Kelestarian’ dan mensasarkan potensi nilai perdagangan dan / atau pelaburan yang bernilai RM10 bilion, 1,000 peluang perniagaan dan 20 Memorandum Persefahaman (MoU) atau Perjanjian Perkongsian.

Untuk menggalakkan lebih banyak syarikat di Malaysia menyertai Pavilion Malaysia, MESTECC mengumumkan bahawa Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), melalui Geran Pembangunan Pasaran akan menawarkan geran bernilai RM200,000 kepada pemohon yang berjaya termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan penyedia perkhidmatan profesional yang terlibat dalam aktiviti mempromosi eksport antarabangsa.

MESTECC ingin mendapatkan prospek dalam perkongsian dan penajaan, dan kini sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai organisasi yang terlibat dalam teknologi dan inovasi berkaitan solusi kelestarian, dimana MESTECC mensasarkan seramai 1 juta pelawat ke Pavilion Malaysia dengan sekurang-kurangnya 20 delegasi daripada negara lain dan lebih 5,000 peserta menghadiri program-program tersebut.

MESTECC juga mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan insentif cukai untuk sumbangan wang tunai atau penajaan dalam penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai. Individu dan syarikat akan layak untuk potongan tujuh peratus (7%) dan 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing di bawah Seksyen 44 (11C) (a) (b) Akta Cukai Pendapatan 1967; bermula 1 Julai 2019 hingga 10 April 2021.

Semasa upacara pelancaran, YAM Tunku Zain mencerminkan bagaimana idea atau tindakan kecil dapat memberikan kesan yang lebih daripada yang dijangkakan. Sebagai Duta #MyButterflyEffect, beliau menyerlahkan semangatnya untuk menyertai program yang akan datang berkaitan Pavilion Malaysia. YAM Tunku Zain juga percaya bahawa salah satu tujuan utama pelancaran kempen #MyButterflyEffect ini adalah untuk menyampaikan keyakinan Malaysia mengenai pentingnya ‘Meningkatkan Kelestarian’ dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai usaha ini.

Turut hadir ialah YB Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar bin Haji Yahaya, Ketua Setiausaha, MESTECC yang juga Pesuruhjaya Jeneral delegasi Malaysia dan Tuan Syed Ahmad Syed Mustafa, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia serta wakil dari Kedutaan Emiriah Arab Bersatu dan Ekspo 2020 Dubai.

Skip to content