Skip to main content
Arkib

SAMBUTAN HARI OZON SEDUNIA TAHUN 2018

By 2018-09-25April 19th, 2020No Comments

Dengan tema “Keep Cool and Carry On: The Montreal Protocol”, Program Sambutan Hari Ozon Sedunia Tahun 2018 yang berlangsung di Hotel Saujana Kuala Lumpur pada 25 September 2018, telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Haji Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Hari Ozon Sedunia disambut bagi menyeru semua pihak untuk meneruskan usaha memulihara lapisan ozon dan menangani masalah perubahan iklim. Setiap lapisan masyarakat juga dipelawa untuk bersama-sama menjaga alam sekitar dan meraikan kejayaan Protokol Montreal dalam memulihara lapisan ozon dan menyumbang kepada pengurangan kesan perubahan iklim.

Bersempena dengan Sambutan Hari Ozon Sedunia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme – UNDP) telah mengadakan pelbagai aktiviti dan salah satu daripadanya ialah seminar yang bertajuk ”Workshop on Safety and Alternatives on Blowing Agent for Malaysian Industries in Foam Sector” dan ”Workshop on Recycle and Reclaim of Refrigerants and the Emerging Alternatives in the Market (Refrigeration and Air Conditioning Sector)”. Seminar ini melibatkan pakar-pakar dari sektor berkenaan yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat dan panduan mengenai teknologi, isu-isu keselamatan serta bahan alternatif yang terdapat dalam pasaran bagi menggalakkan industri untuk bertukar dari bahan pemusnah ozon kepada bahan mesra ozon. Ini adalah penting bagi membantu Malaysia untuk mencapai komitmen di bawah Protokol Montreal melalui strategi-strategi yang telah dipersetujui dalam Pelan HCFC Phase-Out Management Plan (HPMP).

Dalam usaha mengurangkan penggunaan bahan pemusnah lapisan ozon, Malaysia telah berjaya menghentikan pengimportan bahan kimia Klorofluorokarbon (CFC), Halon dan Karbon Tetraklorida (CTC) mulai 1 Januari 2010 dan telah menerima sumbangan geran daripada Tabung Dana Pelbagai Hala (Multilateral Fund – MLF) bagi Protokol Montreal untuk Program Kebangsaan Penghapusan CFC fasa pertama (1992-2001) dan fasa kedua (2002-2010).


Skip to content