09 Mei 2025, Sabah -Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara dengan kerjasama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Karnival STEM Lahad Datu 2025 bermula pada 5 hingga 9 Mei 2025 bertempat di SJKC Sin Wah, Lahad Datu.
Karnival yang telah bermula sejak 5 Mei 2025 ini dan telah menarik minat dan kehadiran lebih 1000 pelajar dan orang awam dari seluruh daerah Lahad Datu. Pelbagai pengisian aktiviti menarik daripada pempamer seperti Pameran Interaktif, Info Matahari, Aktiviti Hands – on, Aktiviti Pencerapan Matahari, Bengkel Guru serta ceramah kerjaya yang merangkumi teras utama dan nilai Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta dan Kemampanan.
Perasmian Penutup karnival ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. MOSTI dan Planetarium Negara sentiasa komited dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Astronomi dan Sains Angkasa melalui pelbagai aktiviti pembelajaran sains bukan formal.
Karnival seperti ini penting untuk meningkatkan inspirasi dan minat terhadap bidang STEM kepada generasi akan datang dan perlu disebarluaskan di seluruh Malaysia pada masa akan datang untuk memastikan para pelajar dapat menjadi saintis muda yang akan menjadi merupakan tonggak harapan Negara.