Skip to main content
Berita

Penyelesaian Kepada Masalah Tanah Jerlus Dan Pendidikan STEMJERLUN

By 2016-05-10Mac 9th, 2017No Comments

JERLUN, 10 Mei – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk mencari penyelesaian kepada masalah tanah jerlus yang melibatkan kawasan penanaman padi bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah.

Menurut Menteri, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, MOSTI melalui Program Duta Sains yang dikendalikan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menjalankan kajian awal terhadap kawasan tersebut dan mengenalpasti penyebab masalah.

“Kawasan sawah ini terletak di kawasan paling rendah mengakibatkannya sentiasa terendam oleh air, dan penggunaan tanah secara berterusan tanpa tempoh rehat menyebabkan tanah tidak sempat kembali mengeras ke tahap normal” katanya.

Masalah di kawasan yang berkeluasan lebih 8 ribu hektar ini dikhuatiri akan menjejaskan hasil tuaian padi serta bekalan beras temapatan, dan menyebabkan ramai petani hilang pendapatan. MOSTI dengan kerjasama MADA akan menjalankan kajian lanjut untuk membuat penyelesaian secara kekal.

“Pendakatan sains melalui kajian dari kepakaran Felo ASM dan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) sedikit sebanyak boleh mendapatkan penyelesaian lestari. Saya juga akan menggerakkan agensi-agensi MOSTI untuk turut membantu,” tambahnya lagi.

Datuk Seri Madius Tangau hadir ke Jerlun untuk melawat kawasan tanah jerlus yang disebut dan merasmikan Karnival Sains Jerlun di SMK Jerlun pada pagi ini. Beliau turut menyampaikan sijil perlantikan Duta Sains Jerlun dan melawat tapak pameran yang menampilkan pelbagai aktiviti bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Duta Sains yang dilantik memainkan peranan penting dalam menggerakkan inovasi setempat, menyelaras penyelesaian masalah tempatan, dan menggerakkan inisiatif STEM. Bagi kawasan Jerlun, penyelesaian masalah tanah jerlus dan pendekatan kaedah pembelajaran IBSE dalam STEM ialah dua aktiviti yang diberi tumpuan,” katanya.

Skip to content