Skip to main content
Berita

Tahap Pencemaran Perlombongan Bauksit Sedang Dianalisis

By 2015-08-10Februari 9th, 2021No Comments

 

KUANTAN, PAHANG – Ekoran pendedahan media mengenai pencemaran bahan radioaktif di sekitar perlombongan bauksit, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya Lembaga Perlesenan Atom Malaysia (LPTA), Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dan Jabatan Kimia telah mengambil contoh sampel daripada kawasan terbabit untuk dianalisa bagi mengesahkan tahap pencemaran seperti yang didakwa.

“LPTA dan ANM telah pun mengambil sampel air, tanah dan bauksit di lokasi berkenaan untuk dianalisis di makmal. Jabatan Kimia pula sedang menganalisis sampel air daripada sungai yang diterima daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang. Semua laporan hasil analisis akan dikemukakan kepada YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet”, kata YB Datuk Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa meninjau kawasan perlombongan bauksit di Bukit Goh, Sg Pengorak dan Pantai Pengorak serta Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya lagi, MOSTI tidak akan berkompromi dalam memastikan tahap keselamatan penduduk di sekitar perlombongan berada pada paras terbaik. MOSTI juga sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri Pahang dan semua agensi yang terbabit bagi menangani dakwaan pencemaran ini. Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat daripada agensi yang berautoriti berbanding mendengar khabar angin yang belum tentu kesahihannya terutama daripada media sosial.