Skip to main content
Berita

1,000 ORANG PESERTA MALAYSIA TECHLYMPICS 2022 PERINGKAT ZON TENGAH

28 September 2022, Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim hari ini merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Malaysia Techlympics Zon Tengah di Zepp KL. Malaysia Techlympics 2022 kini di peringkat zon merupakan sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mencari peserta atau Techlympians yang bakal mara ke peringkat seterusnya bagi merebut hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000.00.

Menurut YB Datuk Haji Ahmad Amzad bin Hashim, melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh para Techlympians, MOSTI yakin bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi yang celik sains teknologi dan inovasi (STI) dan para inovator muda yang berkebolehan untuk menghasilkan solusi, aplikasi dan produk berteknologi untuk masyarakat dan kelestarian negara.

“MOSTI berbangga kerana bagi peringkat Zon Tengah ini, sekitar 1,000 orang peserta sekolah rendah dan sekolah menengah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan telah layak bersaing dalam pertandingan secara fizikal yang berlangsung selama dua (2) hari ini,” katanya.

Malaysia Techlympics 2022 dilaksanakan oleh agensi di bawah MOSTI, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), dan disokong dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang lain. Inisiatif ini mensasarkan satu (1) juta penyertaan daripada para pelajar dan 2,000 idea STI yang berpotensi untuk dikomersialkan.

MOSTI telah menyusun sebanyak 25 pertandingan di bawah lima (5) kategori utama yang tertumpu kepada bidang-bidang yang membabitkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikro-komputer, nano, Internet benda (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan 3D.

Techlympians yang berjaya di peringkat zon akan mara untuk bersaing di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 hingga 13 November akan datang.

Hadir sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBRs. Ts. Dr. K. Nagulendran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI.

Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics 2022, Keluarga Malaysia dijemput untuk melayari laman web rasmi www.techlympics.my

 

         

         

Skip to content