Skip to main content
Berita

Pusat Sehenti Maklumat Keselamatan Internet: Mycyber Komuniti@Sabah Dilancarkan Di Bawah Msi

By 2017-02-11Mac 8th, 2017No Comments

TAMPARULI, SABAH (11 Februari 2017) – Pusat MyCyber Komuniti@Sabah bakal menjadi Pusat sehenti bagi penyebaran ilmu dan maklumat mengenai penggunaan komputer dan internet secara positif di samping merapatkan jurang digital di antara penduduk. Ia dibangunkan di bawah pembiayaan dana Program Inovasi Sosial MOSTI atau MOSTI Social Innovation Program (MSI)

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, “Pusat ini dibina bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat agar dapat menikmati kemudahan perkhidmatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT). Ia sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memperkasa pembangunan digital luar bandar agar rakyat dapat menikmati kemudahan prasarana digital selari dengan perkembangan arus teknologi masa kini serta berupaya merapatkan jurang digital.”

“Selain agensi atau jabatan di bawah MOSTI, pusat ini juga boleh digunakan oleh agensi serta jabatan termasuk lain-lain Kementerian / jabatan bagi penganjuran pelbagai program serta aktiviti berkaitan keselamatan siber dan ICT, khususnya yang melibatkan masyarakat di daerah Tamparuli.” Katanya lagi semasa merasmikan Pusat MyCyber Komuniti@Sabah di sini, hari ini.

Pusat MyCyber Komuniti dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia, pusat pakar teknikal keselamatan siber negara yang juga merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Koperasi Tokou Sabah Berhad.

Pusat MyCyber Komuniti@Sabah dilengkapi prasarana kemudahan ICT dan dilengkapi dengan peralatan seperti kemudahan komputer serta akses Internet, percetakan digital dan mesin pengimbas. Prasarana ICT yang terdapat di pusat ini akan memudahkan masyarakat melakukan perbankan dalam talian (online banking) serta transaksi dalam talian (online transaction) seperti pembelian dalam talian, pembayaran bil serta utiliti.

Sementara itu, menurut Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia “ICT mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Penubuhan pusat ini dapat merealisasi matlamat kami dalam memperkasa bidang keselamatan siber terutamanya kepada penduduk daerah Tamparuli.”

Ujar beliau lagi, “Pelbagai pengisian akan dilaksanakan bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber secara berterusan melalui aktiviti serta program seperti pembangunan laman sesawang, program latihan berkaitan keselamatan siber seperti CyberSAFE, perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic seperti perkhidmatan pemulihan data dan sanitasi data, khidmat nasihat (kaunseling) mengenai keselamatan siber, pengurusan data serta pelaporan insiden keselamatan siber serta pusat rujukan masyarakat setempat bagi hal ehwal berkaitan teknologi, komputer dan Internet.”

Sempena perasmian Pusat MyCyber Komuniti@Sabah, beberapa program berkaitan keselamatan siber turut diadakan, antaranya CyberSAFE Quest yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di sekitar daerah Tamparuli dan ceramah CyberParenting yang melibatkan komuniti setempat.

Skip to content