Skip to main content
Berita

Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia Ke Antartika 2016 Telah Berjaya Dan Selamat Kembali Ke Tanah Air

By 2016-02-14Mac 9th, 2017No Comments

SEPANG, 14 FEBRUARI – Sekumpulan 8 orang penyelidik dari 6 buah universiti tempatan yang menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016 telah berjaya mencapai matlamatnya dan selamat kembali ke tanah air pada hari ini.

Penyelidik-penyelidik ini telah mengumpul sampel air, alga, sedimen, lumut, batuan, invertebrate dalam lautan, debunga, tanah, dan merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik. Sampel-sampel ini ada yang di analisa di sana dan ada juga yang dibawa balik ke makmal di Malaysia untuk analisa selanjutnya. Sampel-sampel dan bacaan yang direkodkan adalah untuk beberapa kajian-kajian saintifik yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik ini khususnya yang berkaitan dengan hubung kait antara Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim; dengan penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon.

Hasil kajian-kajian ini akan dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baru yang boleh membantu masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami fenomena perubahan iklim. Kajian-kajian ini dijalankan di Antartika kerana wilayah polar merupakan kawasan yang amat sesuai untuk pemantauan perubahan iklim. Ini adalah kerana kadar pemanasan di wilayah ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di dunia.

Di samping itu juga penemuan dari penyelidikan oleh kumpulan penyelidik ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Dua Tahun Sekali ke 34 dan Persidangan Sains SCAR (Scientific Committee on Antarctic Research) 2016 yang akan berlangsung pada 20 hingga 30 Ogos 2016 di Kuala Lumpur. MOSTI dengan kerjasama YPASM dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan akan menjadi penganjur persidangan ini.

Semasa berada di Antartika, mereka sempat singgah di Stesen Penyelidikan King Sejong milik Korea Selatan yang terletak di King George Island. Antara tapak-tapak persampelan sepanjang ekspedisi ini ialah Greenwich Island, Deception Island, Darboux Island, Danco Coast, Paradise Bay, Enterprise Island dan Trinity Island.

Ekspedisi ini telah diselaraskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensinya Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM). Peserta-peserta ekspedisi ini yang telah berlepas dari pelabuhan Ushuaia di Argentina pada 18 Januari 2016 terpaksa membuat pusingan balik akibat dari cuaca buruk dan angin kencang sebelum sempat melalui Drake Passage. Mereka kemudiannya memulakan pelayaran semula ke Antartika pada 22 Januari 2016 dan cubaan kali kedua telah selamat membawa mereka tiba di Antartika.

Skip to content