Skip to main content
Berita

Malaysia Menjuarai Kejohanan Roket Air Peringkat Asia Pasifik (APRSAF -23 Water Rocket Event)

By 2016-11-14Mac 9th, 2017No Comments

Kuala Lumpur, 14 November – Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi, Kedah telah menjuarai Kejohanan Roket Air Peringkat Asia Pasifik (APRSAF -23 WATER ROCKET EVENT) yang dianjurkan oleh Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dengan kerjasama Department of Science and Technology of the Philippines (DOST) dan Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology of Japan (MEXT) bertempat di University of the Philippines, Los Banos, Laguna, Filipina. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Persidangan Asia Pasific Regional Space Agency Forum kali ke 23.

 

Pasukan Malaysia telah berjaya menewaskan 12 pasukan dari rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada Bangladesh, Kemboja, Nepal, India, Indonesia, Singapura, Thailand, China, Jepun, Sri Lanka, Vietnam dan Filipina. Dengan kejuaraan ini, mereka membawa pulang hadiah  berupa model/replica roket H-IIB Launch Vehicle & HTV dari JAXA, HD Wireless Speaker, Power Bank, Sijil Kecemerlangan dan hadiah iringan.

 

Pertandingan yang dijalankan pada 13 November 2016 ini memerlukan setiap peserta melancarkan roket setepat yang mungkin ke sasaran yang terletak sejauh 80 meter dan peserta dinilai secara individu bagi jarak yang terdekat dengan sasaran. Khairul Ikmal Hakim bin Nurisyam dari SMK Langkawi telah muncul sebagai wira Malaysia melalui cubaan keduanya yang mencatat jarak hanya sejauh 1.5 m daripada sasaran. Ini merupakan kali kedua Malaysia menjuarai pertandingan ini setelah menjuarainya kali pertama pada tahun 2014 di Tokyo, Jepun.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi telah terpilih mewakili Malaysia setelah menjuarai Kejohanan Roket Kebangsaan 2016 (KRK 2016) anjuran Planetarium Negara, Agensi Angkasa Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Universiti Malaya dan Kolej SPACE UTM yang telah diadakan di Universiti Malaya pada 27 – 30 Ogos 2016.

 

Aktiviti pembudayaan sains angkasa oleh Planetarium Negara ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelajar berkecimpung dengan aktiviti bertemakan angkasa di peringkat antarabangsa yang mana akhirnya akan menyokong inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) Kebangsaan dalam meningkatkan peratusan murid di Malaysia yang mengambil jurusan dalam bidang Sains & Teknologi.

 

Maklumat Tambahan:

Pasukan Malaysia yang diwakili oleh dua buah sekolah iaitu;

  1. Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba Langkawi yang terdiri daripada dua (2) orang pelajar iaitu Rohizad B. Zarain dan Khairul Ikmal Hakim B. Nurisyam serta guru pembimbing En. Mohd Jazrinizad B. Jamaludin
  2. Sekolah Menengah Tinggi Kajang, Selangor yang diwakili oleh dua (2) orang pelajar iaitu Hariharan a/l Pubalan dan Amir Haziq B. Noor Alif Wira dan diiringi guru pembimbing iaitu Puan Noralina Bt. Ishak.
Skip to content