Skip to main content
Berita

Jaringan Inovasi Food 4 Future Dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM Dilancar Bagi Membantu PKS Tempatan

By 2016-12-15Mac 8th, 2017No Comments

SHAH ALAM, 15 DISEMBER 2016 – SIRIM memperkenalkan dua lagi inisiatif strategik iaitu Jaringan Inovasi Food 4 Future dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM dalam usaha berterusan bagi meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan mampan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan melalui teknologi dan inovasi.

Kedua-dua inisiatif ini dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah di sini, hari ini. Turut hadir adalah Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof.

Jaringan Inovasi Food 4 Future ini merupakan sebuah rangkaian fungsi dan operasi saling berkait dan bersepadu oleh PKS yang terlibat dalam sektor pemprosesan makanan. Rangkaian tersebut dikendalikan rakan kongsi saintifik, SIRIM dan Fraunhofer IAO dari Jerman yang dipertanggungjawabkan dalam pembangunan inovasi untuk merealisasikan pertumbuhan PKS dan kelebihan daya saing.

Jaringan inovasi ini juga bertujuan mewujudkan satu jaringan yang berlandaskan kepercayaan, untuk menjalin kerjasama jangka panjang serta memulakan perkongsian pengalaman antara PKS, dan juga sebagai platform faedah dan sokongan yang boleh diperolehi daripada kerjasama penyelidikan-industri.

Sementara itu, Standard Pengurusan Inovasi SIRIM, juga dikenali sebagai SIRIM 8: 2016 – Guidance Towards Becoming an Innovative Organisation merupakan standard yang memberi panduan kepada industri pembuatan dan perkhidmatan Malaysia dalam membina sebuah organisasi yang inovatif serta mempunyai pelbagai aktiviti dan budaya inovasi hasil dari proses inovasi yang berstruktur.

Standard ini bertujuan memberi panduan umum kepada organisasi yang ingin melaksanakan inovasi tanpa mengira sektor, saiz dan jenis. Standard ini juga menerangkan tentang aktiviti inovasi dan teknik dari segi penerokaan idea bagi pemeriksaan, pembangunan dan pengujian produk, serta pelancaran pasaran. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau menerusi teks ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah pada majlis pelancaran tersebut berkata Kementerian memuji peranan yang dimainkan oleh SIRIM apabila ia melancarkan Model Inovasi Perindustrian SIRIM menerusi jalinan strategik SIRIM-Fraunhofer yang menerima pakai dan mengadaptasikan prinsip model Fraunhofer Jerman dalam penyelidikan gunaan bagi pembangunan PKS.  “Dalam model ini, SIRIM dengan kerjasama rakan strategik dan industri akan menyediakan perkhidmatan inovasi dalam bidang yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan serta penembusan pasaran bagi memupuk pertumbuhan PKS,” katanya.

Berkenaan standard SIRIM yang baru dilancarkan, beliau juga berkata bahawa organisasi perlu mewujudkan satu ekosistem inovasi yang terdiri daripada infrastruktur yang sesuai, akses kepada pengetahuan, teknologi, kewangan dan rakan usaha sama.
Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata SIRIM telah membentuk perikatan strategik dengan Fraunhofer bagi membantu PKS tempatan dengan mewujudkan satu ekosistem yang memfokuskan kepada inovasi. Berdasarkan model Fraunhofer ini, SIRIM telah membangunkan sebuah model untuk PKS tempatan yang dikenali sebagai Model Inovasi Perindustrian SIRIM.
“Beberapa inisiatif telah dirangka di bawah Model Inovasi Perindustrian SIRIM, salah satunya adalah Rangkaian Inovasi yang merupakan platform bagi menjalin kerjasama dengan organisasi penyelidikan seperti SIRIM,” katanya.

Tan Sri Ahmad Tajuddin berkata SIRIM juga telah membangunkan satu program baru bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti dalam PKS, khususnya dalam industri makanan dan minuman.

 Beliau juga berkata pelancaran Standard Pengurusan Inovasi SIRIM merupakan satu inisiatif yang dipacu pasaran bagi menangani hal ehwal inovasi dalam industri.

 “SIRIM, dalam tempoh tiga tahun ini, telah menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi membangunkan standard Syarikat dan Organisasi. Dalam bidang di mana kata sepakat melampaui organisasi dan syarikat, kami membangunkan Standard Industri SIRIM,” katanya.