24 Jun 2026, Lao PDR – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengetuai delegasi Malaysia menghadiri beberapa mesyuarat bersama Rakan Dialog ASEAN serta satu mesyuarat dua hala yang diadakan bersempena dengan 22nd ASEAN Ministerial Meeting on Science, Technology and Innovation (AMMSTI-22), 89th ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-89), serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Vientiane, Lao PDR.
Mesyuarat ini meneliti status dan perkembangan inisiatif kerjasama sains, teknologi dan inovasi (STI) ASEAN–Jepun yang sedang dilaksanakan serta membincangkan keutamaan baharu di bawah ASEAN Community Vision 2045 dan ASEAN Plan of Action on Science, Technology and Innovation (APASTI) 2026–2035.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama penyelidikan, mobiliti bakat, transformasi digital, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI), High-Performance Computing (HPC), serta inisiatif peralihan hijau. Malaysia turut mengalu-alukan perkembangan ASEAN Innovation Virtual Organisation (IVO), termasuk kelulusan projek Malaysia yang diterajui oleh MIMOS bagi pelaksanaan Fasa II.




