Skip to main content
Berita

Teknologis Dan Juruteknik Kini Diiktiraf Sebagai Profesion Iktisas Melalui MBOT

By 2016-11-17Mac 9th, 2017No Comments

KUALA LUMPUR, 17 November 2016 – Penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik sebagai profesion Iktisas yang sekali gus menjulang martabat bidang teknologi serta pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET).

MBOT yang dilancarkan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini, ditubuhkan sebagai sebuah badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf Teknologis Profesional (Professional Technologist) serta Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) sebagai profesion iktisas selaras dengan saranan Kerajaan yang telah mengenal pasti keperluan penubuhan satu badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf lulusan berkaitan kemahiran dan teknologi.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyatakan, “Inisiatif di bawah RMKe-11 mengunjurkan pewujudan sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu menjelang tahun 2020. Sebanyak 60% daripadanya memerlukan kemahiran berkaitan pendidikan serta latihan teknik dan vokasional (TVET) bagi menggerakkan sektor perindustrian”.

Bagi mencapai sasaran tersebut, minat pelajar-pelajar terhadap bidang TVET perlu dipertingkat sebagai satu platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir di Malaysia. Bagi memenuhi keperluan ini, Malaysia perlu meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang TVET setiap tahun secara berperingkat dari 164,000 pada tahun 2013 kepada 225,000 pada tahun 2020.

Bagi mengekalkan bilangan tenaga kerja TVET semakin bertambah di dalam industri, MBOT juga berperanan memastikan kualiti profesion ini adalah selari dengan perkembangan dinamik industri semasa. Trend semasa teknologi pembuatan kini antara lain melibatkan automation, Internet-of-things dan cyber-physical systems.

Selaras dengan teras strategik ke-2 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), iaitu Membangun, Memupuk dan Menggilap Bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), MOSTI telah melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan kapasiti sumber manusia berkaitan STI. Malaysia berhasrat untuk menjadi negara maju dan inklusif menjelang tahun 2020. Malaysia memerlukan modal insan yang berpengetahuan, berilmu, beretika dan berakhlak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Dalam menyokong aspirasi negara untuk menempuh Industri 4.0 ini, MBOT dilihat sebagai berada di platform yang paling sesuai untuk leverage pelbagai bidang teknologi yang berada di bawah pengawalseliaan MBOT bagi memberi nilai tambah kepada pelbagai industri negara.

MBOT telah membuka pendaftaran kepada empat kategori, iaitu Teknologis Berijazah, Teknologis Profesional, Juruteknik Berkelayakan dan Juruteknik Bertauliah. Pemegang-pemegang ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dalam bidang teknologi dan teknikal layak memohon. Pendaftaran keahlian teknologis dan juruteknik yang layak boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.mbot.org.my.

Skip to content