Skip to main content
Berita

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Menang Pertandingan Satelit Navigasi Eropah

By 2016-10-26Mac 9th, 2017No Comments

Kuala Lumpur, 26 Oktober – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membuktikan keupayaan penyelidik Negara apabila menjadi juara dalam European Satellite Navigation Competition atau Pertandingan Aplikasi Satelit Navigasi Eropah 2016. Menerusi produk penyelidikan “ATTracT (Autism Trigger, Tracking and Trace)” atau lebih dikenali dengan nama MOSTI Track Autism produk ini telah menerima anugerah khas BELS Special Prize dalam pertandingan yang dianjurkan oleh European Commission, European Space Agency dan European GNSS Agency.

Pengumuman tersebut telah dibuat dalam satu upacara khas di Circulo De Bellas Artes De Madrid, Sepanyol. Sebagai ganjarannya, ANGKASA akan menerima tawaran untuk menjalani program inkubasi di Eropah selama 6 bulan untuk mensiap sediakan produk ini supaya boleh dikomersilkan di pasaran. Semua kos perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak penganjur sepanjang program.

Menurut Ketua Pengarah ANGKASA yang juga ketua penyelidik projek ini, Dr. Noordin Ahmad, “ANGKASA telah bekerjasama dengan pusat PERMATA Kurnia untuk menguji prototaip sistem ini. Idea dan sistem ini akan diperluaskan penggunaannya kepada kumpulan sasaran yang lain selain daripada autisme, supaya teknologi satelit boleh dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat pelbagai lapisan.” Pegawai Penyelidik ANGKASA lain yang terlibat dalam projek ini adalah En. Ooi Wei Han dan En. Shahrizal Ide Moslin.

MOSTI Track Autism adalah sistem yang dibangunkan di bawah MOSTI Social Innovation (MSI) menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih. Dengan menggunakan sistem ini kanak-kanak dipakaikan dengan alat pengesanan satelit navigasi GPS berbentuk jam tangan dan ibu bapa dapat mengesan lokasi kedudukannya pada setiap masa dengan hanya melalui aplikasi pada telefon pintar .Menerusi aplikasi ini juga, ibu bapa turut boleh menentukan zon kawasan maya serta tempoh waktu untuk aktiviti harian tertentu bagi kanak-kanak autisme. Satu notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada ibu bapa sekiranya kanak-kanak tidak berada di dalam zon kawasan maya yang ditetapkan. Ini dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak autisme, dan juga tekanan dan kerisauan ibu bapa.

Skip to content