Skip to main content
Berita

Cradle Fund Tawarkan Dua Geran Baharu Untuk Tingkatkan Pengkomersialan Inovasi

Putrajaya, 19 Jun 2020 – YB Khairy Jamaluddin hari ini melancarkan dua program baharu Cradle Investment Programme (CIP) iaitu CIP IGINITE yang menawarkan geran bersyarat dan bantuan nilai tambah sehingga RM 500,000 kepada syarikat teknologi pemula (start-up), PKS tempatan serta syarikat terbitan universiti/institut penyelidikan dan CIP ACCELERATE yang menyediakan dana sehingga RM 2,000,000 dan bantuan nilai tambah yang khusus untuk syarikat pemula teknologi tinggi dan syarikat terbitan universiti dan insititut penyelidikan.

Dengan pelancaran ini, Cradle komited untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu syarikat teknologi memanfaatkan sepenuhnya inovasi dan ciptaan peluang pekerjaan mereka dan seterusnya, menyumbang kepada pertumbuhan positif ekonomi negara.

Kedua-dua geran dijangka dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 38 syarikat pemula niaga peringkat awal. Setakat ini, Cradle sudah menyalurkan geran kepada lebih 1,000 syarikat pemula niaga teknologi termasuk iMoney, LaPasar, Naluri Hidup, Easy Parcel, MauKerja dan The Lorry.

Pelancaran tersebut merupakan sebahagian daripada agenda semasa lawatan kerja YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI ke Cradle Fund Sdn Bhd hari ini dalam rangka lawatan kerja ke jabatan dan agensi di bawah seliaan MOSTI.

Sesi taklimat berkenaan fungsi dan peranan Cradle serta impak Cradle Investment Programme (CIP) terhadap pembangunan ekonomi negara dan sektor syarikat teknologi peringkat awal di Malaysia, khususnya disampaikan oleh pihak Cradle.

Turut hadir YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Dr. Mohd. Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI.

Skip to content