06 Oktober 2025, Kuala Lumpur – National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025 membuka tirai hari ini dengan majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, diiringi oleh YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI. Majlis berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, turut hadir seketika mengiringi YAB Timbalan Perdana Menteri ke dewan perasmian sebelum berangkat ke Putrajaya bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri Pakistan sempena lawatan rasmi ke Malaysia.
Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM350 juta di bawah Dana PEMACU (RMK-12) bagi penyelidikan pembangunan eksperimental, dengan 158 projek telah menerima pembiayaan sebanyak RM331 juta setakat Ogos 2025.
NICE 2025 menghimpunkan empat program utama di bawah MOSTI – MCY, FundConnect Convention, I-Nation Global Summit dan BioXCeed 2025 sebagai platform utama mempamerkan inovasi terbaik negara di samping memperkukuh ekosistem inovasi nasional.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Pelan Hala Tuju RDICE Malaysia yang bakal menjadi panduan strategik memperkukuh penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan negara. Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Malaysia Commercialisation Year (MCY) 2024 dan Anugerah MySTI sebagai pengiktirafan kepada kementerian, penyelidik serta usahawan yang berjaya membawa hasil R&D ke pasaran serta pemeteraian tiga MoU strategik melibatkan agensi, universiti dan industri.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga turut meluangkan masa melawat pameran teknologi dan inovasi yang menampilkan pelbagai produk hasil penyelidikan dan komersialisasi tempatan di bawah ekosistem MOSTI, termasuk pavilion agensi, universiti, dan syarikat pemula teknologi.
NICE 2025 berlangsung dari 6 hingga 9 Oktober 2025 di WTCKL, menampilkan pelbagai pameran teknologi, forum, sesi perkongsian dan pelancaran inisiatif baharu yang bakal menginspirasikan generasi inovator negara.
Turut hadir memeriahkan majlis, Puan Yang Terutama Dr. Betty Oyella Bigombe, Pesuruhjaya Tinggi Republik Uganda ke Malaysia; YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia serta ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan dan swasta, termasuk rakan-rakan media.