19 Oktober 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Menteri Ekonomi telah menyertai sesi Fireside: 𝐹𝑟𝑜𝑚 𝐴𝑐𝑡𝑖𝑜𝑛 𝑃𝑙𝑎𝑛 𝑡𝑜 𝐴𝑐𝑡𝑖𝑣𝑎𝑡𝑖𝑜𝑛 sempena Persidangan KL20@Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di The Campus, Ampang hari ini.
Persidangan anjuran Kementerian Ekonomi ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pelaksanaan Pelan Tindakan KL20 bagi merealisasikan objektif Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 termasuk meletakkan Malaysia dalam kalangan ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang tahun 2030.
Sesi tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara melalui pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, akses pembiayaan dan pasaran serta kerjasama strategik antara Kerajaan, industri dan pelabur.
Dalam sesi tersebut, YB Datuk Menteri turut menekankan peranan MOSTI dalam mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bersama Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI). Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Program MySTI, National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) serta Dana Pengkomersialan bagi membantu syarikat pemula membangunkan, menguji dan membawa penyelesaian teknologi ke pasaran.
Selain itu, penekanan turut diberikan kepada kepentingan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan dan industri dalam mempercepat penerimagunaan teknologi tempatan, memperluas peluang pelaburan serta meningkatkan keupayaan syarikat pemula untuk berkembang ke pasaran antarabangsa.
Penglibatan MOSTI dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Ekonomi dalam menyelaraskan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 dan Pelan Tindakan KL20, ke arah membangunkan ekosistem syarikat pemula yang berdaya saing, mampan dan berimpak tinggi kepada ekonomi negara.




