Skip to main content
Berita

ABTC 2026: Malaysia Terajui Langkah ASEAN Peralih Daripada Dialog Ke Pengindustrian Bateri

19 Ogos 2026, Sepang – MOSTI terus memperkasakan kedudukan Malaysia dan rantau Asia Tenggara dalam rantaian nilai bateri global menerusi penganjuran Persidangan Teknologi Bateri ASEAN Ke-4 (ABTC 2026) yang dirasmikan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Movenpick Hotel & Convention Centre Sepang, Selangor.

Persidangan bertemakan pengindustrian teknologi bateri ini memberi tumpuan khusus kepada peluasan skala pembuatan, keselamatan, pensijilan, serta pengkomersialan rantaian nilai bateri. Perasmian dimulakan dengan seruan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, YB Datuk Chang Lih Kang, yang menggesa negara-negara ASEAN agar beralih daripada sekadar perbincangan meja bulat kepada langkah pengindustrian fizikal yang nyata. Beliau menegaskan bahawa kekuatan serantau terletak pada usaha saling melengkapi melalui penyelidikan, pembuatan, dan pengintegrasian pasaran.
Persidangan edisi ini turut menyaksikan pencapaian penting melalui pelancaran sel pauc (pouch cell) lithium-ion NMC-grafin hasil kerjasama strategik antara NMB dan National Battery Research Institute (NBRI) dari Indonesia. Inisiatif ini menggabungkan keupayaan Indonesia dalam pengeluaran bahan aktif NMC dengan kepakaran Malaysia dalam formulasi bateri dan teknologi grafin, sekali gus membuktikan potensi integrasi keupayaan rentas sempadan ASEAN.
Siri perbincangan yang menampilkan pakar antarabangsa dan pemimpin industri serantau ini akan terus merangkumi topik kecekapan pembuatan, penyimpanan tenaga, dan peluang pelaburan. Persidangan tiga hari ini bakal diakhiri dengan penyerahan mandat perumah acara ABTC 2027 kepada Electric Vehicle Association of the Philippines (EVAP).
Skip to content