Skip to main content
Berita

Advance Integrated Nilam System (AINS) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

16 November 2023, Selangor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menyerahkan Advance Integrated Nilam System (AINS) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam majlis rasmi yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Program ini merupakan salah satu bentuk mekanisme ‘handshake’ yang melibatkan pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi bersama berkongsi kepakaran menyelesaikan masalah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Aplikasi AINS yang telah dibangunkan oleh pasukan JomBaca adalah cetusan idea daripada program MYHackathon 2022. Program MYHackathon adalah merupakan inisiatif nasional yang dipacu oleh MOSTI serta Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) sebagai agensi pelaksana, bertujuan mendorong pembangunan teknologi dan inovasi di kalangan startup dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim dalam ucapannya, memaklumkan bahawa AINS adalah contoh kejayaan kerjasama merentasi pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pihak swasta dalam pembangunan aplikasi yang dapat memanfaatkan pendidikan negara. Ia adalah bukti komitmen kerajaan dalam menghadapi cabaran semasa dengan cara yang proaktif dan berinovasi.
“Melalui kerjasama antara KPM dan MOSTI, kita dapat melihat peranan AINS dalam membantu meningkatkan budaya membaca di kalangan murid-murid sekolah, serta efisiensi dalam pengurusan maklumat pelajar dan aset sekolah,” katanya.
Projek AINS berperanan membantu meringankan beban guru dalam menganalisa perekodan bacaan murid serta memberi maklumat terperinci kandungan-kandungan terkini yang menarik minat pelajar untuk terus mengekalkan budaya membaca.
MYHackathon 2022 Kohort 2 merupakan salah satu daripada program di bawah inisiatif nasional MYStartup bagi membantu startup peringkat awal untuk memacu perkembangan perniagaan mereka menerusi program-program pembangunan kapasiti.
Dengan matlamat mewujudkan 5,000 startup menjelang tahun 2025, MYStartup terus memberi impak positif kepada startup di peringkat awal dan membangunkan ekosistem tempatan melalui program pembangunan kapasiti seperti MYStartup Hackathon, MYStartup Accelerator, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Mentorship, dan MYStartup NXT.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan MYStartup, sila layari www.mystartup.gov.my.
Skip to content