Kuala Lumpur, 23 Jun – Bengkel Cabaran MyIdeas 2013 anjuran Bahagian Inovasi & Pengkomersilan (I&P), telah diadakan pada 22 & 23 Jun 2013 pada jam 8.30 pagi bertempat di Auditorium Quantum, Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Bengkel yang diadakan selama dua hari ini bertujuan untuk membudayakan pemikiran kreatif melalui proses penjanaan idea melalui pemikiran analitik, kritikal, lateral dan kreatif ke arah penghasilan idea yang mantap dan praktikal. Bengkel Cabaran MyIdeas 2013 juga akan dijadikan sebagai satu platform proses penjanaan idea secara komprehensif dalam memperkasakan idea yang dihasilkan dengan bantuan daripada tenaga pakar yang berpengalaman. Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar IPTA dan IPTS sekitar kawasan Lembah Klang seperti Giat Mara Selangor, Giat Mara Wilayah Persekutuan, Politeknik Shah Alam, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), dan Kolej Politech Mara (KPTM) telah menyertai bengkel ini.
Majlis penyampaian hadiah bagi pemenang Cabaran MyIdeas 2013 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.