6–7 Oktober 2026, Kuala Lumpur – Siri Pertama Bengkel Kajian Separuh Penggal Dasar & Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030 dan Pencapaian Pelan Hala Tuju Teknologi & Produk Nano 2021–2025 telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI di UTM Kuala Lumpur.
Bengkel ini menghimpunkan pemegang taruh daripada pelbagai kementerian, agensi dan industri bagi menilai pencapaian serta memperkukuh hala tuju nanoteknologi negara. Dengan kerjasama UTM Kuala Lumpur selaku Jawatankuasa Bersama, kajian separuh penggal ini turut menilai keberkesanan 4 Teras Strategik, 15 Strategi dan 32 Inisiatif di bawah DSNN agar kekal relevan dan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penjajaran dengan NIMP 2030 serta penyediaan input bagi RMKe-13, termasuk analisis jurang KPI bagi fasa 2021–2025, penetapan sasaran KPI baharu bagi 2026–2030 dan penelitian terhadap 4 Sektor Pemula (jump-start sector) nanoteknologi.
Penjajaran semula ini diharap dapat memperkukuh ekosistem nanoteknologi negara, menterjemahkan ciptaan teknologi kepada pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.




