Skip to main content
Berita

Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Mencungkil Bakat, Menyemarakkan Minat STEM

7 September 2026, Setia Alam – Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri telah berlangsung di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam, hari ini, menandakan kemuncak usaha memupuk minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), di samping membina pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda sejak Februari lalu.

Program anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang mewakili YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Mengangkat tema “Memantapkan Asas Sains untuk Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Inklusif”, NSC 2026 menjadi platform untuk menggalakkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan STEM secara kreatif dan kritis dalam menangani cabaran kehidupan seharian.
YB Menteri menegaskan bahawa pendidikan sains tidak seharusnya terhenti pada hafalan formula atau pencapaian peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu membentuk keupayaan berfikir secara kritis, sikap terbuka serta keberanian untuk mencuba dan meneroka perkara baharu. Beliau turut menyeru agar kerjasama erat antara kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti terus diperkukuh bagi membimbing serta mengembangkan bakat muda negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, pertandingan peringkat kebangsaan ini menyasarkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 dan terus menjadi antara platform penting dalam mencungkil serta mengasah bakat muda dalam bidang STEM.
Edisi 2026 melakar sejarah dengan penyertaan tertinggi sebanyak 56,013 pelajar daripada 18,671 pasukan di seluruh negara, termasuk penglibatan 246 sekolah luar bandar.
Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah dinobatkan sebagai Juara NSC 2026 dan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri serta lawatan sambil belajar ke Jepun. Sementara itu, SMK Tsung Wah, Perak muncul sebagai Naib Juara yang juga turut dapat menyertai lawatan sambil belajar ke Jepun, diikuti SMK Agama Jerlun, Kedah di tempat ketiga, SMK Desa Petaling, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat keempat dan SMK Tapu, Terengganu di tempat kelima.
Program yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia dan MARA ini turut dijayakan melalui kerjasama e-estidotmy, Young Scientists Network (YSN-ASM) serta pelbagai rakan strategik daripada sektor awam dan swasta.
Penganjuran NSC 2026 terus membuktikan bahawa minat dan potensi bakat muda negara dalam bidang STEM amat besar serta berkembang tanpa mengira latar belakang mahupun lokasi.
Skip to content