Skip to main content
Berita

Cradle Dan Microsoft Jalin Kerjasama Untuk Memperkasakan Syarikat Start-Up Malaysia

9 Ogos 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) dengan Microsoft Malaysia (Microsoft).

Kolaborasi antara Cradle iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Microsoft membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan platform kepada syarikat pemula atau start-up tempatan untuk membangunkan hasil inovasi di peringkat global.

Menerusi MoU ini, Cradle akan bekerjasama dalam program Microsoft for Startups Founders Hub dengan menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal, menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga USD150,000.00 untuk membangunkan produk mereka.

Pada majlis pemeteraian MoU ini, sesi perbincangan bertemakan ‘Empowering Startups with Technology’ turut diadakan dengan menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin industri iaitu YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Puan Azizah Ali, Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi, Microsoft Malaysia; Dr. Raymond Choy, Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US; dan Encik Patrick Hew, Ketua Pegawai Teknologi Paywatch.

Skip to content