Skip to main content
Berita

Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030

20 September 2023, Putrajaya – YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang hari ini melancarkan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. DTNN 2030 ini adalah agenda negara bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli dan alam sekitar.

Dasar ini digubal dengan menggunakan pendekatan yang bersepadu dan holistik melibatkan pemegang taruh di pelbagai peringkat merangkumi kementerian, agensi, institusi akademik, pemain industri, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.
YB Chang Lih Kang berkata, “DTNN ini merupakan dasar yang signifikan dalam usaha MOSTI untuk merangka hala tuju strategik jangka panjang bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030. Strategi dan inisiatif yang digariskan dalam dasar ini memberi penekanan untuk mewujudkan ekosistem teknologi nuklear negara yang mampan serta membentuk asas yang kukuh dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear secara aman di Malaysia.”
Tambah beliau, DTNN bertujuan untuk memperluaskan tahap sumbangan teknologi nuklear kepada produktiviti negara dengan memperkukuh kapasiti dan keupayaan inovasi serta memacu pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang progresif dan mampan menjelang 2030.
DTNN 2030 ini menggariskan enam (6) Sektor Fokus Utama sebagai sektor yang boleh dipertingkatkan keupayaannya melalui penggunaan teknologi nuklear iaitu:
1️⃣ Perubatan dan penjagaan kesihatan;
2️⃣ Makanan dan pertanian;
3️⃣ Pembuatan peranti dan peralatan;
4️⃣ Pengurusan alam sekitar dan sumber asli;
5️⃣ Aplikasi perindustrian; dan
6️⃣ Keselamatan dan sekuriti nuklear
Bersesuaian dengan sifat teknologi nuklear yang dikategorikan sebagai teknologi tinggi, pelaksanaan dasar akan diletakkan di bawah rangka kerja tadbir urus di mana MOSTI akan bertindak sebagai kementerian yang menerajui pelaksanaan dasar ini dan merangka pembangunan dasar yang berkaitan sains dan teknologi nuklear.
Manakala Nuklear Malaysia akan bertindak sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama nasional termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear. Nuklear Malaysia akan menerajui Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan di mana ahlinya terdiri daripada pakar teknikal daripada agensi kerajaan yang berkaitan, institusi berasaskan negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik. Jawatankuasa ini akan berperanan untuk menyelaras, meneliti serta menasihati aspek teknikal berkaitan teknologi nuklear dalam pelaksanaan dasar ini.
Skip to content