13 November 2025, Putrajaya – Forum Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) sempena Hari Terbuka Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 telah berlangsung di Atrium Peterana, MOSTI.
Forum ini menampilkan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai panel bersama YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi) MOSTI dan YBrs. Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan (SUBKP) MOSTI selaku moderator. Turut hadir, YBrs. Dr Noraisah Spahat, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Setiausaha-setiausaha Bahagian serta warga MOSTI.
Forum ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga MOSTI mengenai pelaksanaan ARPA dan RKB dalam meningkatkan produktiviti di samping membincangkan hala tuju pelaksanaan dasar serta cabaran masa hadapan yang akan dihadapi.
Antara intipati ucapan Datuk Seri KSU adalah kita kini berada dalam fasa evolusi birokrasi yang menuntut perubahan dalam cara kita bekerja dan berfikir. Tambahnya lagi, birokrasi tidak boleh lagi dilihat sebagai liabiliti sebaliknya perlu digerakkan sebagai pemangkin kepada keberkesanan pelaksanaan dasar serta pemacu inovasi dalam pentadbiran. Anjakan dalam ARPA perlu disesuaikan dengan keperluan semasa agar sistem tadbir urus menjadi lebih tangkas, fleksibel dan responsif terhadap cabaran baharu.
Justeru, warga MOSTI dituntut untuk bekerja dalam ekosistem yang saling melengkapi, membina kolaborasi merentas agensi dan sektor bagi memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak sebenar.




