Skip to main content
Berita

Global Knowledge Dialogue (GKD)

6 Oktober 2023, Kuala Lumpur – Global Knowledge Dialogue (GKD) merupakan sebuah inisiatif oleh Majlis Sains Antarabangsa (ISC), berperanan untuk memperkasa sains di Rantau Asia dan Pasifik ke arah membangunkan laluan tindakan bagi memajukan sains untuk kesejahteraan sejagat di peringkat global.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, yang berucap di Perasmian GKD 2023 berkata, “Hubungan strategik dan kerjasama global dapat membantu mewujudkan penyelesaian sejagat untuk cabaran global dengan menggesa rakan kongsi untuk membuat sumbangan yang berterusan melalui kerjasama antarabangsa. GKD merupakan sebuah platform penting kepada penggubal dasar, saintis dan saintis masyarakat untuk membincangkan integrasi sains dalam membangunkan pelan tindakan yang lebih komprehensif.”
ISC telah mengadakan siri pertama GKD di Cape Town, Afrika Selatan pada 7 Disember 2022. Siri kedua pula diadakan semasa Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023, dengan pra acara pada 5 Oktober 2023. Lebih 140 Ahli daripada 30 negara telah menghadiri dialog tersebut.
Sementara itu Presiden Akademi Sains Malaysia, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata “Kerjasama dan kolaborasi dalam dialog yang terbuka dan inklusif adalah penting dalam memformulasikan misi kita untuk membina masa depan yang lebih lestari. Global Knowledge Dialogue untuk Asia dan Pasifik ini memupuk pengetahuan yang komprehensif, memberikan pengiktirafan yang setimpal dengan segala jenis pengetahuan insaniah yang ada dalam diri kita”.
GKD 2023 akan memberi tumpuan kepada bagaimana untuk memajukan peranan sains dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan di Asia dan Pasifik. Hasil daripada pelbagai sesi ini akan memberi maklumat kepada program-program dan aktiviti ISC Regional Focal Point for Asia and the Pacific serta membantu mengenal pasti perkara keutamaan serantau, peluang dan cabaran dengan tumpuan khusus kepada bagaimana untuk membiayai dan mewujudkan sains untuk kelestarian semasa dan di masa akan datang.
Salah satu peluang adalah melalui laporan Global Commission on Science Missions for Sustainability oleh ISC yang baharu dilancarkan di United Nations High Level Political Forum. Laporan tersebut, Flipping the Science Model: A Roadmap to Science Missions for Sustainability, berfungsi sebagai sebuah seruan untuk menjemput semua pihak berkepentingan agar bersatu dengan komuniti sains dalam usaha bersama bagi mendorong kekuatan sains secara kolektif untuk menggerakkan tindakan perubahan ke arah dunia yang lebih lestari untuk semua.
ISC melalui suara-suara Ahlinya telah melaksanakan GKD yang bermula dengan komuniti sains Afrika pada tahun 2022 di World Science Forum dan akan diteruskan sepanjang tahun 2023 di Asia Pasifik dan Amerika Latin serta Caribbean pada tahun 2024.
Skip to content