13 Oktober 2026, Selangor – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menyampaikan ucapan pembukaan bagi Sesi Khas – High-Level Roundtable Discussion sempena Global Tipping Points Conference 2026 yang berlangsung pada 12 hingga 15 Oktober 2026, anjuran bersama MOSTI dan Universiti Sunway.
Persidangan yang diadakan di Universiti Sunway ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di rantau Asia yang menjadi hos kepada program tersebut.
Dalam ucapannya, YB Menteri menekankan keperluan untuk menyelaraskan matlamat, nilai dan proses pembuatan keputusan bagi memastikan kemajuan dapat dicapai dalam era pasca-2030.
Seiring dengan usaha tersebut, MOSTI turut melancarkan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan (National Planetary Health Action Plan – NPHAP) pada tahun 2025 sebagai rangka kerja strategik untuk mengimbangi aspek manusia, bumi dan kemakmuran.
Peranan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) juga perlu diberikan perhatian kerana STI amat penting dalam menjana penyelesaian, memperkasakan penggunaan data serta memacu inovasi yang mampan. Tiga (3) keutamaan utama yang perlu diberikan penekanan ialah keselarasan kerangka, kebolehgunaan data dalam pembuatan keputusan strategik dan pelaksanaan tindakan yang berkesan.
Melalui pendekatan ini, pengukuran kemajuan bukan sekadar menilai situasi semasa, malah menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan usaha memperkukuh daya tahan negara.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, turut menyertai Sesi Khas – High-Level Roundtable Discussion sempena Global Tipping Points Conference 2026.




