Skip to main content
Berita

Hari Kejuruteraan Sedunia 2023

11 Mac 2023, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensi Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) menekankan keperluan lebih ramai jurutera untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah membina masa depan yang lebih mampan untuk rakyat.

 

Sehingga Disember 2022, kira-kira 172,900 jurutera siswazah, 5,900 jurutera profesional, dan 9,100 jurutera profesional dengan sijil amalan telah didaftarkan dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
Walaubagaimanapun, dengan populasi 32.7 juta, hanya terdapat 187,900 jurutera berdaftar secara rasmi di Malaysia.
Menurut BEM, pada tahun 2022 juga nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia ialah 1:170. Sebagai perbandingan, nisbah jurutera kepada penduduk di negara maju seperti Jerman dan Perancis adalah 1:100. Angka tersebut menunjukkan masih terdapat permintaan yang tinggi untuk profesion jurutera di Malaysia dalam usaha ke arah mencapai status negara pengeluar teknologi.
Statistik ini dinyatakan oleh Menteri MOSTI, YB Chang Lih Kang ketika merasmikan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 peringkat MRANTI, bertemakan “Engineering Possibilities” bersempena dengan sambutan UNESCO yang diadakan pada 4 Mac setiap tahun.
Menurut Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, melalui sambutan ini, MRANTI menyokong hasrat untuk mempromosikan kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya yang berdaya maju dan menghidupkan semula semangat di kalangan generasi muda untuk kemungkinan dan peluang yang tersedia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bagi tujuan yang sama, MRANTI menyediakan pusat inovasi komuniti yang dikenali sebagai MakersLab. Bertemakan IR4.0 ianya merupakan pusat untuk komuniti inovator berkumpul, bertukar idea serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan. Aktiviti bengkel STEM dalam bidang tenaga-boleh-diperbaharui, pengekodan dan robotik ditawarkan termasuk Program Sijil Reka Bentuk Simulasi Industri dan kursus Inovasi Percetakan 3D.
Manakala Pertandingan Cabaran Rekabentuk yang dilancarkan sempena Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 merupakan seruan kepada belia untuk membabitkan diri dalam dialog berkaitan gaya hidup di bandar yang lebih inklusif dari segi sosial, kemampanan diri dan penjanaan semula alam sekitar. Belia siswazah dan lepasan ijazah dari bidang kejuruteraan dan pelbagai disiplin lain dijemput untuk bersaing dan melontarkan idea bandar pintar paling inovatif dalam bentuk prototaip yang boleh diaplikasi.
Penyertaan terbaik bakal menerima ganjaran pelaburan bernilai sehingga RM30,000.00 untuk memacu cita-cita mereka dalam mentakrifkan semula kehidupan di bandar-bandar Malaysia.
Menurut kajian, walaupun minat dan penghayatan pelajar Malaysia terhadap sains adalah tinggi selama ini, mereka mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap sains, dan ia telah menurun secara drastik selama beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, MOSTI memberi keutamaan yang tinggi kepada program mempertajam kemahiran dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelajar dan belia dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, pengkomputeran kuantum, pengekodan dan lain-lain sebagai pemangkin kepada keperluan tenaga mahir dalam bidang 4IR.
DSC 7338   DSC 7240
DSC 7272   DSC 7310
Skip to content