11 Oktober 2024, Selangor – Seramai lebih 2,000 orang peserta dari kalangan kakitangan MOSTI, jabatan dan agensi hari ini berkumpul di Cyber Event Hall, Cyberjaya bagi menyertai Majlis Perjumpaan Warga MOSTI bersama YB Menteri yang juga bersempena dengan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat MOSTI.
Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan kata-kata semangat daripada YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI yang seterusnya melaungkan ‘MOSTI LUAR BIASA’ sebagai simbolik bermulanya Program.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI; YBrs. Tuan Ooli Gunalan, Setiausaha Bahagian Kanan MOSTI dan YBhg. Datin Murni binti Muda, Pengerusi Puspanita Cawangan MOSTI turut sama hadir memeriahkan dan menyertai acara senaman pound dan sukaneka yang diadakan. Penyertaan warga MOSTI, jabatan dan agensi tanpa mengira jawatan dan gred ini diharapkan menyumbang kepada semangat perpaduan dan kerjasama erat dikalangan warga MOSTI.
Program ini juga adalah selaras dengan sokongan MOSTI terhadap pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) ke arah meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia khususnya warga MOSTI melalui amalan hidup sihat seperti makan secara sihat dan selamat, tidak merokok, minda sihat, hidup aktif serta kebersihan diri dan kebersihan persekitaran.