11 Mei 2023, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan INovasi hari ini merasmikan International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2023 yang berlangsung dari 11 – 13 Mei 2023 di KLCC. (ITEX) 2023 telah mengambil Langkah proaktif ke arah menangani krisis iklim dengan menyatukan minda inventif dari seluruh dunia untuk mencipta penyelesaian teknologi iklim yang mampan.
YB Chang Lih Kang turut menyatakan keterujaan beliau terhadap impak yang akan diperolehi melalui ITEX 2023 dalam menangani perubahan iklim. Beliau berkata “Dengan tema ‘Teknologi Membalikkan Perubahan Iklim (Technology Reversing Climate Change)’ saya teruja untuk melihat penyelesaian baharu yang inovatif yang telah dibina berdasarkan teknologi yang cekap tenaga atau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan karbon dan menggunakan bahan kitar semula atau boleh guna semula”
Beliau turut berbesar hati atas peranan dimainkan ITEX dalam memajukan ciptaan dan inovasi di negara ini serta menggalakkan pertumbuhan pencipta tempatan, selaras dengan salah satu teras Malaysia MADANI iaitu ‘Daya Cipta’. Beliau berkata pameran itu berjalan seiring dengan hasrat Kerajaan untuk menerajui dasar berorientasikan masa depan yang dirangka untuk merangsang kreativiti dan kepakaran tempatan, serta memperkasakan rakyat untuk membangunkan penyelesaian ke arah Malaysia yang aman dan makmur.
ITEX 2023 menerima lebih 700 penyertaan dengan lebih daripada 80% memfokuskan kepada penyelesaian teknologi iklim. Institusi dan individu tempatan membentuk hampir 60% daripada peserta. Pameran tahun ini menyaksikan 19 negara dan wilayah mengambil bahagian.
MOSTI sentiasa komited dan menyokong usaha-usaha serta inisiatif dalam memperkasakan agenda sains, teknologi dan inovasi negara untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.