Skip to main content
Berita

Jom Baca 10 Minit MOSTI @ Perpustakaan MOSTI

27 April 2026, Putrajaya – Budaya membaca terus diperkasa melalui penganjuran program Jom Baca 10 Minit yang berlangsung dengan penuh semangat di Perpustakaan MOSTI. Program ini telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, bersama-sama 60 warga MOSTI yang turut mengambil bahagian dalam aktiviti membaca secara serentak di Perpustakaan MOSTI.
Bertempat di Perpustakaan MOSTI, suasana program jelas mencerminkan komitmen warga kementerian dalam menyokong usaha membudayakan amalan membaca sebagai gaya hidup. Tepat pada waktu yang ditetapkan, semua peserta berhenti seketika daripada tugasan harian dan meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca bahan pilihan masing-masing — satu simbolik yang cukup bermakna dalam memupuk kecintaan terhadap ilmu.
Program Jom Baca 10 Minit ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan serentak di seluruh dunia, dengan matlamat utama menyemai tabiat membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca sebagai asas pembinaan masyarakat berilmu, kreatif dan berdaya saing. Selain itu, program ini juga berperanan sebagai platform untuk menggalakkan perkongsian ilmu serta memperkukuh fungsi perpustakaan sebagai pusat rujukan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui penganjuran program seperti ini, MOSTI bukan sahaja menyokong agenda literasi negara malah turut membuktikan bahawa pembudayaan membaca boleh bermula dengan langkah kecil — hanya 10 minit sehari namun mampu memberi impak besar kepada pembangunan diri dan organisasi.
Skip to content