7 September 2023, Selangor – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah di First City University College, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Dalam ucapannya YB Chang Lih Kang sekali lagi menegaskan mengenai pentingnya meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terutamanya pelajar dalam mata pelajaran STEM. Justeru, Mengambil kira dapatan-dapatan berkaitan tahap kesedaran STI dan penurunan enrolmen dalam STEM ini, MOSTI komited menyusun dan menyelaras pelaksanaan Program Perdana Pembudayaan STI iaitu Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics.
“Satu Jawatankuasa Khas STEM bersama KPM dan pihak-pihak yang berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi juga akan ditubuhkan bagi menilai semula inisiatif dan dasar sedia ada berkaitan pembelajaran STEM di Malaysia seterusnya merangka agenda bagi memperkasa bidang STEM Negara untuk tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang” tambahnya lagi.
Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah berlangsung selama dua (2) hari pada 6 & 7 September 2023. Para peserta Malaysia Techlympics dari negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkumpul di sini untuk berentap bagi mewakili Zon Tengah ke pertandingan akhir pada November nanti.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.
Melalui program ini, pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik akan dipertandingan di peringkat negeri, zon dan kebangsaan. Selaras dengan penganjurannya pada tahun kedua ini, MOSTI komited untuk meraih 1 juta penyertaan daripada para pelajar dan belia yang berusia 7 hingga 30 tahun dalam pertandingan berteraskan teknologi terkini ini.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya Jabatan Pendidikan Negeri atas komitmen yang telah diberikan, badan-badan agensi dan persatuan yang terlibat dalam pengisian karnival serta pihak First City University College selaku tuan rumah.